like

Sang Pemimpi

Isnin, 11 Mac 2013

Belum Kutahu



          Wanita yang menghidangkan air terus berlalu setelah tugasnya selesai. Namun mata Izwan tetap terarah kepada wanita itu sehingga bayangnya menghilang memasuki salah sebuah bilik.

          "Macam mana perempuan itu boleh ada dalam rumah kau?" tanpa menghiraukan perasaan 'perempuan itu' yang dia maksudkan, Izwan bertanya dengan suara nyaring dan keras.

          "Dia isteri aku," jawab Amal selamba.

           "What? Isteri? Kau dah gila? Perempuan macam tu kau jadikan isteri?"

          Amal hanya tersenyum. Inilah kejutan yang dia ingin beritahu kepada Izwan tadi. Sahabatnya itu benar-benar terkejut tetapi itu bukanlah respon yang dia harapkan. Adakah setelah sekian lama, Izwan masih belum mampu memaafkan Maizura?

         "Kau pun tahu dia perempuan jenis yang bagaimana. Dah tak ada perempuan lain ke dalam dunia ini?" Izwan terus mengasak apabila pertanyaannya tidak dijawab.

         "Wan, kau kena faham. Sebagaimana dia mempunyai masa silam, sudah tentu dia juga punya masa depan. Kita manusia biasa, Wan. Bukan malaikat. Bila-bila masa Allah boleh tarik nikmat iman yang Dia berikan. Jangan sampai disebabkan 'orang-orang baik' macam kau, semua manusia yang pernah buat dosa tak mahu kembali," nasihat Amal. Dia tidak mahu membiarkan Izwan terus menghukum atas suatu dosa yang dia yakin turut pernah dilakukan oleh Izwan.

        "Aku yakin dia takkan berubah."

        "Kau pernah buat kesilapan yang sama. Kenapa kau tak boleh terima hakikat Maizura juga boleh berubah?"

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

          Maizura tersentak mendengar suara di sebalik telefon bimbitnya.

         "Mengapa buat saya macam ni, Zura? Awak hilang dan tiba-tiba awak muncul sebagai isteri kawan baik saya. Ada awak fikir tentang perasaan saya?" Izwan terus-menerus menyerang Maizura dengan persoalannya.

           "Awak yang tinggalkan saya, Wan. Saya tak pernah bertanya kenapa awak tinggalkan saya. Jadi bukan salah saya atau Amal kalau akhirnya saya pilih jalan ini," dengan tenang Maizura menerangkan rasional tindakannya.

           Izwan mengeluh. Dadanya tiba-tiba rasa sakit. Maizura benar-benar telah melupakannya. "Zura, saya masih sayangkan awak. Dulu saya takut dengan perasaan saya sendiri sebab saya tahu saya takkan mampu memiliki awak."

          "Teruskanlah dengan rasa takut awak tu, Wan sebab saya tak mungkin terima awak semula. Lagipun saya sedar, perempuan kotor macam saya tak layak untuk awak."

          "Zura, saya minta maaf kalau awak terasa dengan kata-kata saya hari itu. Saya cakap macam itu sebab saya cemburu."

"Sudahlah, Wan. Saya tak boleh berborak lama-lama dengan awak. Saya dah jadi isteri orang. Dan saya harap ini panggilan terakhir dari awak."

          Klik. Panggilan ditamatkan. Izwan meraup wajahnya. Kalau dia mengambil tindakan berani dengan mengahwini Maizura dahulu, adakah keadaan akan menjadi lebih baik?

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

         Usai solat Maghrib berjemaah, Amal menghadap isterinya untuk sesi usrah. Maizura selalu teruja untuk mendengar ceramah daripada Amal atau sesekali Amal akan membuka peluang untuk dia bertanya. Ala-ala program Kemah-keming Ustaz Azhar Idrus usik Maizura ketika mula-mula dia menyuruh Maizura bertanya soal agama yang dia tidak faham.

        Malam ini berlainan sekali. Wajah Maizura muram dan nampak risau.

      "Ujian yang datang kepada kita bukan saja-saja Allah nak beri. Antara hikmah dugaan yang kita hadapi ini ialah untuk diaudit oleh auditor yang sentiasa setia mengikut kita kemana sahaja, kiri dan kanan. Untuk mengukur di skala mana sabar, ikhlas, redha dan syukur kita. Dan kita juga seharusnya sentiasa melakukan 'self-audit' supaya tidak terleka," Amal memulakan bicara setelah membaca pembuka kalam, surah Al-Fatihah.

       Dia memandang tepat ke wajah Maizura, "Jadi, walau apapun dugaan yang kita hadapi, jangan pernah menyerah. Senyum tatkala kesedihan atau dilanda ujian adalah lambang ketabahan." jari-jemari Amal menyentuh dagu Maizura. Memaksa isterinya merenung matanya. "Beritahu abang apa yang berlaku. Kenapa Mai nampak muram malam ni?"

        Melihat wajah jernih suaminya, Maizura berterus-terang, "Tadi Izwan called Mai. Abang, Mai tak tahu macam mana dia dapat nombor Mai. Mai tak pernah bagi nombor telefon pada dia. Tapi mai dah pesan supaya dia tak ganggu Mai lagi."

       Amal masih tersenyum. Maizura memang berani. Dia mula yakin dengan pepatah 'berani kerana benar'.

       "Kalau dah pesan begitu, kenapa masih muram? Dah, jangan fikir sangat. Yang ni pun kira audit juga, tahu? Audit skala kesetiaan Mai pada abang dan skala cemburu abang pada Mai," pujuk Amal. Setakat Izwan dia tidak risau. Izwan sahabat baiknya. Dia kenal Izwan.

        "Abang cemburu pada Mai?"

         "Eh, mestilah abang cemburu. Mai, kan isteri abang."

       "Cemburu tanda sayang. Abang sayang Mai?" Maizura masih tidak puas hati.

       "Ya, sayang. Abang sayang sayangggg...." Amal meleretkan suara.

       "Betul?"

       "Betullah," jawab Amal menhan geram. Gigit kang baru tahu!

       "Jadi abang kahwin dengan Mai bukan sebab kasihan?"

        "Mengarut!" Amal terus memicit hidung Maizura kuat-kuat. Dia tak boleh tahan geram lagi. Air wudhu yang disimpan untuk solat Isyak sudah batal tetapi Amal tidak kisah. Kalau samapai dia kena mandi wajib lepas ini pun dia tidak kisah. Maizura benar-benar membuat dia geram!