PROLOG
10.10.2010,TENGAH MALAM
Alhamdulillah. Selesai sudah majlis doa selamat dan kesyukuran sempena majlis pernikahan aku siang tadi. Selepas aku memastikan Siti Huda sudah tidur nyenyak,aku melangkah keluar dari bilik menuju ke ruang tamu lalu terus menyalakan lampu. Aku duduk bersantai sambil mengelamun. Sebenarnya tiada apa yang aku fikirkan saat ini. Hanya sekadar lintasan peristiwa harian dan angan-angan kosong aku.
Malam menjadi sangat sejuk apabila angin tiba-tiba bertiup kencang. Aku bangkit menuju ke dapur untuk membancuh kopi. Sekadar mencampurkan air panas dengan sepaket kopi tiga dalam satu. Kopi pracampuran yang diadun dengan tongkat ali dan ginseng menerbitkan aroma yang enak. Tak sabar aku nak menghirup air bancuhan aku sendiri kerana jarang sekali aku akan berbuat begitu. Selalunya aku minum sahaja apa yang sudah dibancuh atau gogok sahaja air sejuk dari peti ais. Aku menyanyi kecil sambil menyambung angan-angan aku tadi.
Agaknya apa kebaikan yang telah aku buat sepanjang tiga puluh sembilan tahun aku melalui hidup ini sehingga aku diberi kebahagian yang menjadi impian setiap lelaki? Atau adakah ini merupakan ujian kepada aku? ALLAH ingin menguji sama ada cinta aku masih untuk-Nya walaupun aku telah menikahi tiga wanita. Ya ALLAH, janganlah Engkau palingkan hatiku dari cinta-Mu setalah Engkau kurniakan cinta insani kepadaku. Semoga cinta Nurfarhana, Ayu Sakinah dan Siti Huda akan menuntun aku menuju syurga. Wahai kekasih-kekasih halalku, aku cinta kamu!
Nurfarhana, si cantik manis berwajah cerah. Namun tubuhnya yang kecil dan rendah tidak menggambarkan usia sebenarnya. Dia kelihatan sepuluh tahun lebih muda! Aku mengahwininya ketika dia berusia lapan belas tahun dan aku pula baru memasuki usia dewasa, dua puluh satu tahun. Wanita pilihan mak itu merupakan gadis sekampungku. Disebabkan sistem sosial masyarakat kampung ketika itu, maka aku tidak pernah berpeluang bersahabat dengan Hana. Gadis bertudung labuh itu berjaya menambat hati mak lalu disunting menjadi isteriku. Dengan Hana, aku dikurniakan dua orang cahaya mata. Seorang lelaki dan seorang perempuan.
Ayu Sakinah, gadis yang aku kenali semasa memulakan perniagaan bengkel kimpalan aku. Dia merupakan kerani di syarikat yang menjadi supplier kepada bengkel aku. Dari urusan rasmi, tanpa disedari hubungan kami menjadi semakin rapat, lebih dari sekadar kawan. Setelah berkenalan hampir lima tahun, dia akhirnya menjadi isteriku. Namun perjalanan cinta kami tidaklah selancar perkahwinan aku dengan Siti Huda. Sekarang dia sedang bekerja keras untuk mengambil hati mak aku.
Siti Huda, susah aku nak gambarkan wanita ini. Ibu tunggal beranak satu itu aku kenali semasa menemani Ayu ke Rumah Anak Yatim Darul Naim. Ayu Sakinah merupakan sukarelawan di rumah tersebut. Setiap hujung minggu dia akan ke sana untuk mengajar kanak-kanak membaca dan mengira. Siti Huda pula dibesarkan di rumah itu sejak kecil lagi. Setelah kematian suami, dia kembali menabur bakti di Darul Naim. Simpati yang melimpah melihat dia membesarkan anak-anaknya yang seramai tiga orang itu tidaklah pula menyebabkan aku terus jatuh kasih. Melainkan terjadinya suatu peristiwa yang menyebabkan air mata aku menitis. Dan, dengan restu kedua-dua isteriku, aku melamar Siti Huda.
“Macam mana kau boleh beristeri banyak? Maksud aku, dalam zaman sekarang boleh dikatakan tidak ada lagi lelaki yang boleh kahwin lebih dari satu kalau tak berperang. Apa jampi kau,hah?”aku teringat pertanyaan Wan Mujahid pagi tadi. Bukan dia seorang. Ramai lagi kawan-kawan aku yang ingin tahu macam mana aku handle isteri-isteri aku sampai mereka boleh izinkan aku berkahwin lain. Bahkan calon isteri pun mereka yang cadangkan. Bukannya senang. Kalau senang, semua orang boleh buat. Para isteri aku dah nampak cara aku hadapi kehidupan semasa aku beristeri dua. Dari situ mereka yakin aku memang dapat adil dalam membahagi kasih. Mereka tidak risau.
“Cuba kau gambarkan poligami seperti solat tahajud atau puasa sunat. Seperti solat tahajud dan puasa sunat, hanya orang yang mampu dan kuat sahaja yang dapat jalankan poligami. Eh, kau jangan tersenyum penuh makna pula. Maksud kuat tu kuat jiwa dan rohani, kuat hadapi dugaan. Baru layak kahwin lebih dari satu,”jelas aku kepada Wan Mujahid.
Dia terangguk-angguk tetapi aku yakin dia belum faham. Tidak kira lelaki atau perempuan, apabila berbicara tentang poligami, mesti fikirkan sudut negatif sahaja. Apa salahnya kita fikirkan pula dari segi positif perkahwinan majmuk ini. “Kita mesti percaya apa-apa sahaja yang diturunkan oleh ALLAH pasti ada hikmahnya. ALLAH tidak menghalalkan apa yang memudaratkan hamba-Nya. Poligami itu tidak buruk tetapi menjadi buruk apabila orang yang sesat mengamalkan poligami. Poligami adalah hukum yang telah ditetapkan oleh ALLAH S.W.T kerana Dia adalah Maha Mengetahui segala keperluan dan kehendak hamba-Nya,”
“Aku tak nafikan apa yang kau cakap tu betul tapi sekarang perempuan lebih rela bercerai daripada bermadu. Fuhh, bunyi bukan manis lagi tapi yang merasa saja tahu bagaimana pahitnya. Kau cakap macam tu sebab kau kahwin banyak. Cuba kau macam aku, kau pun akan sokong,”Wan Mujahid tidak mahu mengalah.
“Aku bagi kau analogi lagi,ya. Biar senang sikit kau nak faham. Perkahwinan itu umpama perjalanan kau tanpa kenderaan. Kau hanya berjalan kaki. Destinasi kau pula ialah kebahagian dan kau akan sampai ke destinasi sekiranya kau mengikuti arah yang diberikan iaitu syariat. Cuaca yang panas kau bayangkan sebagai lambang poligami dan hujan lebat pula penceraian. Semasa kau berjalan, kau akan menghadapi cuaca panas terik. Memang letih dan perlu kesabaran tapi kau masih dapat teruskan juga perjalanan kau itu. Agaknya apa yang akan terjadi kalau hujan lebat pula? Kau terpaksa mencari tempat berteduh lalu berhenti di situ. Kau tak dapat teruskan langkah kau lagi. Kalau kau teruskan pun kemungkinan kau akan basah lencun dan kalau nasib tak baik kau akan dipanah petir! See, yang mana satu pilihan kau?”
“Aku bukan tak setuju tapi biarlah masa yang akan menentukan sama ada aku boleh faham atau tidak tindakan kau ini. Jujur aku akui, sebagai lelaki memang terlintas keinginan untuk beristeri lebih tapi macam yang kau cakap tadi, poligami umpama solat tahajud dan aku belum mampu untuk istiqamah,”
Persoalan Wan Mujahid tidak akan habis di situ sahaja. Kalau tidak dia, akan ada orang lain yang akan menyangkal perlunya poligami dalam kehidupan. Aku teringat kata-kata Doktor Mashitah, poligami itu umpama ubat, kalau kamu tidak menghidapi sakit yang perlukan ubat tersebut, maka janganlah mengambil ubat itu. Betul,kan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pecah Kaca Pecah Simen,
Lepas Baca Harap Komen...