like

Sang Pemimpi

Selasa, 22 Januari 2013

Dilarang Jatuh Cinta Bab 1



Naskhah skrip yang tebal itu melayang hinggap tepat ke wajah Zulhisyam. Zulhisyam memejam mata seketika menahan perit. Sakit akibat layangan skrip itu bukan hanya terasa pada wajah tetapi juga di hati. Nasib baik kejadian itu berlaku di dalam bilik mesyuarat yang kini hanya terdapat rakan-rakannya sahaja, Adzimi, Tarmizie dan Syazwani. Kalau berlaku di luar pasti Zulhisyam malu. Setahun pun belum tentu hilang rasa malunya itu. Dia kenal sangat dengan staf-staf Sejalan Sdn. Bhd. yang tak sampai tiga puluh orang itu. Semuanya rajin ‘menganyam ketupat’! Di dalam hati, Zulhisyam menyumpah. Kalaupun kejadian itu merupakan salahnya, Adzimi tidak boleh sekejam itu sehingga melemparkan skrip ‘Kota Bayang-bayang’ ke arahnya. Dia bukannya  budak-budak lagi.
            “Ini soal reputasi aku. Kegagalan atau kejayaan aku dalam bidang ini. Tapi bila keadaan berlaku tak seperti yang kita jangka kau boleh pula bersorak seolah-olah aku menang award pengarah terbaik. Kau tahu, kalau kita tak dapat habiskan silibus Bengkel Asas Teater ini sebelum berakhir bulan April, pihak KPS mungkin tak akan bagi kita tender lagi. Bila timbul masalah kita terpaksa panjangkan tempoh bengkel, kau bersorak bukan main lagi.”gerutu Adzimi.
            Dia benar-benar marah. Sesuatu yang dia perjuangkan selama hampir 3 tahun bakal berakhir akibat kesilapan mereka sendiri. Kalau boleh dia mahu semua anggota terpenting dalam Seniman Jalanan atau Sejalan bersatu hati menaikkan semula nama mereka. Tetapi apa yang berlaku? Panas telinganya mendengar sorakan Zulhisyam. Orang kanan dia sendiri. Adzimi kesal dengan sikap sambil lewa rakannya itu.
            Seniman Jalanan suatu ketika dahulu merupakan sebuah kelab kebudayaan di sekolah mereka, di bawah pimpinan Cikgu Latif. Adzimi dan Zulhisyam aktif sejak dari tingkatan satu lagi manakala Tarmizie menganggotai Seniman Jalanan semasa di tingkatan empat. Masing-masing mempunyai bakat tersendiri dalam bidang kesenian. Seniman Jalanan sudah menjadi darah daging mereka sehinggakan setelah tamat persekolahan, Adzimi nekad untuk menubuhkan kembali Seniman Jalanan selepas mendirikan rumah tangga dengan Syazwani, bekas ahli Seniman Jalanan juga. Mereka berdua bersama Tarmizie dan Zulhisyam membina syarikat dengan nama Sejalan dengan skop yang lebih luas. Sebuah agensi yang mencari dan mengetengahkan bakat seni anak-anak tempatan yang terpendam. Selain itu, mereka juga menerima tawaran daripada pihak Kementerian Pembangunan Sosial untuk menjalankan bengkel atau kursus sepanjang tahun atau kursus pendek semasa cuti persekolahan.
            Zulhisyam mengangkat muka. Terkejut dengan kenyataan Adzimi tadi. ‘Reputasi dia? Dia ingat Sejalan ni dia yang punya?’ Hati Zulhisyam bertambah bengkak. Dilawannya pandangan mata Adzimi. Kedua-duanya tidak bergerak beberapa ketika. Rahang masing-masing bergetak menahan marah. Persis dua ekor kucing yang siap hendak menyerang.
            Tarmizie yang sejak tadi hanya menjadi penonton, bangkit perlahan-lahan mendekati Adzimi. Bahu sahabatnya itu ditepuk-tepuk lembut. Cuba meredakan suasana yang agak tegang. Dia faham sangat perangai kedua-dua sahabatnya itu. Kalau ada perselisihan bukannya hendak berbincang secara elok. Selalunya akan diakhiri dengan adegan gedebak-gedebuk. Mujurlah persahabatan yang terjalin sejak sekian lama itu masih berpanjangan.
            “Mijie, aku bukan sengaja nak marah-marah tapi kau tengoklah Zul ni. Aku tengah serius boleh dia bersorak-sorak. Agensi kita bukan macam company besar-besar itu. Kita hidup dengan tender yang kita dapat dari kementerian. Bila mereka dah tak percaya kita lagi, macam mana nak cari makan? Okey, fine. Kita memang ada kerja lain tapi ini hidup kita, perjuangan kita, minat kita. Aku takkan biarkan perkara buruk berlaku pada Sejalan lebih-lebih lagi jika ia diakibatkan oleh kita sendiri.”Adzimi meluahkan rasa kekesalannya.
            “Apa yang aku dah buat? Kesilapan ini terjadi bukan sebab aku! Aku memang bersorak tadi tapi bukan disebabkan kegagalan kita. Dan satu yang kau perlu tahu, Sejalan bukan hak kau seorang. Ini hasil titik peluh kami juga.” Zulhisyam tiba-tiba mengamuk.
            “Kalau dah tahu Sejalan ni hak kita semua, kenapa kau seronok sangat? Aku paling benci orang yang tak ada komitmen tapi suka tumpang nama.”tanpa bertangguh Adzimi membidas Zulhisyam.
“Aku yang kau kata tak ada komitmen? Kau nak tahu apa yang aku korbankan untuk projek besar kita kali ini? Tawaran berlakon filem dengan production Encik Ruslan! Apa yang kau tahu? Sebulan sekali pun susah kau nak jenguk sini. Kau tu yang tumpang nama!
            Selama ini kalau aku terima tawaran berlakon pun, ada aku letak nama aku sendiri? Tak ada,kan? Aku akan letak nama agensi kita. Itu salah satu usaha yang aku buat untuk Sejalan. Tapi bila bengkel kali ini gagal capai target, semua yang aku dah lakukan tak ada erti bagi korang.”
            Adzimi semakin marah. Pantang benar dia jika kata-katanya dilawan.
            “Jadi kau nak ungkit semua pengorbanan kau itu lah. Kalau macam tu aku pun boleh ungkit. Lepas habis sekolah, siapa yang hidupkan balik Seniman Jalanan kalau bukan aku? Siapa yang tubuhkan Agensi Sejalan dengan duit sendiri? Aku faham korang dah banyak berkorban sebab itu aku tak mahu ada antara kita yang tak serius.” luah Adzimi beremosi.
            “Tak payahlah kau nak tension sangat pasal hal tu, Jimmy. Dilanjutkan seminggu aje pun. Semua peserta pun tak ada masalah kalau kita lanjutkan bengkel itu. Seronok lagi adalah. Cuma kita perlu deal balik dengan pihak catering. Bilik yang kita sewa dengan Islamic Information Centre untuk program ini Syazwani akan uruskan.” Tarmizie pula bersuara. Kalau dibiarkan, sampai esok pagi pun belum tentu tamat.
            “Budak Zul mereng tu kau tak payah layan sangat. Dia seronoklah sebab dia belum berjaya usha E-ien lagi. Bila Bengkel Asas Teater ni dilanjutkan lagi seminggu, adalah peluang dia nak try skill lain pula.” Sambung Tarmizie lagi.
            “E-ien? Siapa?”
            “Tengok, nama peserta bengkel pun kau tak tahu. Ada hati nak syarahkan orang pasal komitmen.” Zulhisyam terus menempelak Adzimi.
            Adzimi rasa tercabar. Dia yang baru sejuk tadi kembali panas. Digenggamnya jari-jari tangan bersedia untuk menumbuk Zulhisyam. Syazwani yang terkejut dengan tindakan Adzimi terus menerpa ke arah suaminya. Menghalang Adzimi dari mengapa-apakan Zulhisyam.
            “Abang ni, benda kecil pun nak besar-besarkan.” Syazwani pantas memaut lengan suaminya. “Cubalah bawa bersabar. Takkanlah masih tak kenal lagi perangai Abang Zul tu. Dia bergurau aje tadi. Lagipun, memang betullah apa yang Abang Mijie cakap itu. Dia nak mengorat peserta bengkel kita, E-ien… Erin Suraya. Peserta paling muda sekali. Baru tamat tingkatan lima.” Terang Syazwani kepada Adzimi.
            Ketegangan di wajah Adzimi kian mengendur. Dia sedar yang dia bertindak mengikut perasaan. Dia sudah lama mengenali pemilik nama Zulhisyam itu. Sepatutnya dia boleh terima hakikat yang Zulhisyam cuma bergurau. Ha, kan dah malu…
            Adzimi menghulur tangan kepada Zulhisyam. “Okey, I’m sorry, dude. Aku tengah tension. Yang aku ungkit pasal Sejalan tadi, aku tak ada niat langsung. Sorry Zul, Mijie.”
            Tangan yang dihulur segera bersambut. Tarmizie pun menerima huluran maaf Adzimi dengan tebuka. Tiada dendam. Biasalah, perselisihan pasti akan berlaku dalam persahabatan.
            Masing-masing mula mengemaskan kertas yang bertaburan ketika perbincangan mereka sebentar tadi. Semua sudah bersedia untuk meninggalkan bilik mesyuarat yang ada kalanya menjada gelanggang gusti mereka itu. Adzimi sudah berada di ambang pintu bilik mesyuarat diiringi Syazwani.
            Sebelum keluar, “Tapi ingat, aku nak dengar berita gembira minggu depan. Aku harap korang akan buat yang terbaik. Aku tak dapat bersama minggu ini tapi aku akan cuba pulang masa majlis penutupan nanti. Petang ini aku kena balik kem.” Pesan Adzimi.


            Mata Zulhisyam tajam memerhati makanan di hadapannya. Nasi ayam yang dipesannya sebentar tadi langsung tidak disentuh. Tarmizie yang turut duduk semeja tahu fikiran Zulhisyam tidak berada di situ. Cuma jasadnya sahaja.
            Tarmizie mengeluh lalu bertanya, “Apa yang kau fikir? Dari tadi kau lihat aje makanan tu. Bukannya boleh masuk sendiri ke mulut kau.”
            “Dayus! Takut bini!” bentak Zulhisyam tiba-tiba.
            “Siapa?”
            “Siapa lagi?!”
            Tarmizie geram! “Yalah, siapa? Kalau aku tahu, aku tak tanya kau.”
            “Jimmy lah…siapa lagi. Kau tak nampak tadi? Dia nak pukul aku kan? Tapi bila Syaz halang aje dia terus kecut. Bukan kau tak tahu yang Jimmy memang pak turut. Ikut aje apa kata Syaz.” Jawab Zulhisyam dengan lemah. Macam orang dah dua hari tak makan. Memanglah makanan yang dia pesan tadi belum dimakan tapi pagi tadi dia sudah telan dua bungkus nasi lemak. Takkanlah sudah habis tenaga itu dia gunakan?
            Tarmizie tergelak. Memang tak sangka perkara itu yang difikir oleh Zulhisyam sejak tadi. “Eh, nasib baiklah Syaz tahan tangan Jimmy tadi. Kalau tak, dah biru mata kau tu. Tumbukan Jimmy kau jangan buat main.”
            Zulhisyam mengerling marah. ‘Tak guna punya kawan. Ingat nak sokong aku. Dia boleh gelak pula.’
            “Aku lagi rela kena tumbuk daripada aku diselamatkan oleh perempuan. Ingat aku lemah sangat? Sekali tangan dia hinggap kat muka aku, aku patah riukkan tulang dia.”
            “Chill lah, bro. Tadi kan dia dah minta maaf. Daripada kau asyik layan geram kau kat Jimmy, baik kau rangka strategi mengorat E-ien yang kau syok sangat tu. Aku perati dalam kalangan peserta kita pun ada yang nak try budak ni, tau.” giat Tarmizie. Dia sengaja mengalih perhatian Zulhisyam daripada mengingati peristiwa pagi tadi.
            Zulhisyam tersenyum. Figura indah milik Erin Suraya terbayang di mata. Wajah seakan-akan sebuah lukisan komik itu memang menarik perhatiannya sejak empat bulan Bengkel Asas Teater dijalankan. Mata bulat besar dan bersinar, hidung kecil dan bibirnya yang merah. Sangat comel! Zulhisyam kian tenggelam dalam angannya. Melupakan nasi ayam dan Tarmizie di hadapannya itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pecah Kaca Pecah Simen,
Lepas Baca Harap Komen...