like

Sang Pemimpi

Selasa, 22 Januari 2013

Putera Katak vs Puteri Tepung


             Aku terdiam tidak terkata. Benarkah apa yang aku lihat ini? Aku cuba skill yang orang selalu buat bila nak pastikan sama ada bemimpi atau tidak. Aduh! Sakit juga lengan aku kena cubit. Sah! Aku tak bermimpi. Pandangan mata aku mulai kabur. Aku menangis?
            Adakah kad jemputan perkahwinan Farizan mampu membuat aku jadi cengeng begini? Aku baca sekali lagi. Undangan ke majlis perkahwinan anakanda kami Farizan dengan tunangannya Nadia Suwarah. Aku ingin meraung sekarang! Boleh?
 
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 “Kem Biologi tak sah kalau tidak ada katak,” rungutan Nurhanim membuatkan aku berdebar-debar. Takkanlah kot…
            Kenapa mesti ada katak? Kan banyak lagi haiwan lain. Boleh sawan aku kalau macam ini. Cikgu Muswandi dah senyum-senyum kat aku. Aku tahu sangat makna senyuman teh o kurang gula Cikgu Muswandi itu. ‘Cikgu, saya sanggup gantikan tempat katak itu untuk dibedah.’ Aku mula merangka dialog merepek untuk melepaskan diri dari menjadi doktor haiwan tidak bertauliah kepada katak yang sedia menunggu di dalam balang.
            “Sebelum kita memulakan misi mengkaji respiratory system katak ini, cikgu mahu kamu semua ambil katak ini seekor seorang,” kata-kata Cikgu Muswandi aku dengar dengan mata yang tertutup. Aku takut mendengar arahannya. Aku terasa lenganku disinggung dengan siku oleh orang yang berada di sebelah aku.
            “Ain, kalau kau  takut nak dengar, jangan tutup mata, tutuplah telinga,” Farizan ketawa mengejek aku. Tapi dia ketawa dengan volume yang paling minimum. Tahu pun takut disembur Cikgu Muswandi yang garang dan tiada diplomasi itu!
            Perlahan-lahan aku buka mata dan cuba untuk bertentangan mata dengan si  katak. Sekali lagi aku rasa dadaku dilanda tsunami. Ish, macam nak pandang Arjun Rampal pulak sampai boleh berdebar-debar begini. “Cikgu nak Nurul Ain dulu yang ambil katak kat depan ini,” dia sebut nama aku ke? Ya ALLAH, apakah kesalahan aku hingga aku dihukum bunuh mandatori? Huh!
            Dengan semangat yang tinggal senipis kulit bawang, aku berjalan ke hadapan. Balang yang memuatkan berpuluh ekor katak itu aku lihat seperti seekor katak gergasi yang akan menelan aku hidup-hidup! Aku telan air liur. Kalau tidak disebabkan aku tak nak Cikgu Muswandi malukan aku andai gagal melakukan apa yang dia suruh, saat itu juga aku lari dari makmal!
            Tangan aku sejuk dan menggigil. Ya ALLAH, bantulah hamba-Mu ini. ‘Itulah! Dah dalam kesusahan baru nak ingat Tuhan.’kutuk diriku kepada diriku sendiri. Sebelum menyeluk balang tersebut, aku pandang lagi wajah Cikgu Muswandi. Dia memang sengaja nak kenakan aku sebab aku selalu bersoal-jawab dengan dia di dalam kelas. Apa salahnya,kan? Barulah pembelajaran dua pihak berlangsung dan tercapailah objektif P & P.
            “Cepatlah! Ramai lagi yang tak sabar nak bedah katak tu,” selamba sahaja Cikgu Muswandi menyergah aku. Dengan lafaz BISMILLAH aku gerakkan juga tangan aku lalu mengambil seekor katak yang kecil dan cute. Cute? Maaf, otak aku sudah mereng gara-gara katak!
            Tiba-tiba, dengan tidak dijangka-jangka, katak itu melompat dari tangan aku. Bersyukur? Tidak! Katak itu sebenarnya melompat ke atas bahu aku lalu bertenggek di situ. “Mak!!!!!”

            Aku kembali ke sekolah setelah bercuti selama seminggu. Tak sangka hanya disebabkan seekor katak aku boleh demam sampai seminggu. Nurhanim tersengih-sengih menyambut kehadiran aku di muka pintu kelas 5 Sains 1. Ketika melangkah menuju meja aku, aku terdengar usikan-usikan tentang Kem Biologi minggu lepas. Nak kena sekeh dengan aku lah tu.
            “Ain, dahlah tu, janganlah nangis lagi,” Nurhanim memujuk aku. Kami berdua duduk di sudut belakang sekali di dalam kantin sekolah. Entah siapa yang letakkan katak plastik bawah meja aku tadi. Apa lagi, seluruh sekolah agaknya dapat dengar jeritan aku itu.
            Aku kesatkan air mata dengan hujung lengan baju sekolah. Tak ada tisu. Aku ini kan minah brutal. Manalah aku ada simpan tisu atau sapu tangan dalam kocek. “Anim, aku dah tahu apa nak buat. Aku nak balas dendam. Langkah pertama, kita mesti cari budak kurang ajar tu,” dengan tegas aku menuturkan misi revenge aku itu.
Nurhanim menggeleng. “Tak payahlah sampai balas dendam. Kau ni, buat aku takut aje lah,” pujuk Nurhanim perlahan. Dia memang takut dengan kemarahan aku. Siapa yang tak takut kalau tahu yang aku pernah buat dahi adik aku berjahit sebab dia dajalkan kucing kesayangan aku, Tommy.
            “No, no, no…” jawabku sambil menggerakkan jari telunjuk ke kiri dan ke kanan. Nurhanim menyembam muka ke meja kantin. Tak sanggup! Dia tahu apa nasib budak yang letakkan katak itu apabila aku sudah melaungkan kata-kata ‘balas dendam’.
Seminggu berlalu begitu sahaja…………
            “Eh, kau kata nak balas dendam, tak ada berlaku apa pun. Kau dah tahu tak sapa yang letak katak tu?” semasa perhimpunan pagi itu Nurhanim bertanya. Tentu dia hairan kerana selama seminggu lepas, kelas kami bahkan sekolah kami tiada didatangi berita pelajar yang meninggal dunia secara mengejut. Hehe..takkanlah aku nak buat jahat sampai macam tu sekali. Nauzubillahiminzalik.
            “Saja lah aku tak nak balas dendam. Aku nak lepaskan aje dia tu. Bagi dia insaf sendiri,” jawab aku tenang. Aku hulurkan bungkusan kacang kepada Nurhanim. Kacang tanah yang disaluti sambal yang pedas. Pergghh..!
            “Aku tak percayalah. Mesti ada apa-apa ni. Kau cakaplah. Takkan rancang sorang kot,” Nurhanim masih tidak berpuas hati.
            Aku sebenarnya memang nak beritahu tapi aku malu. Aku sudah tahu siapa gerangan budak yang melancarkan serangan berani mati itu. Dan kerana aku sudah tahulah aku tidak mahu teruskan niat ingin membalas dendam.
            Terdengar arahan dari pengawas meminta semua pelajar berdiri tegak bagi menyanyikan lagu kebangsaan negeri Sarawak, Ibu Pertiwiku menandakan perhimpunan telah tamat menyelamatkan aku dari soalan Nurhanim.
            Lepas balik dari Makmal Kimia, Nurhanim terkocoh-kocoh mengejar aku. Entah dari mana dia tadi sampai boleh tertinggal jauh di belakang. Bukan kami sama-sama keluar ke tadi? “Aku dah tahu kenapa kau tak jadi balas dendam!” mak aiii. Kuatnya suara dia! Dahlah menjerit betul-betul di telinga. Aku pandang muka dia dengan wajah yang menyampaikan maksud ‘kau nak mampus ke?’
            “Cakap perlahan tak boleh ke cik adik? Semua orang tengah pandang kita ni,” aku menuturkan kata-kata dengan lemah lembut sekali. Boleh dikira berapa kali setahun aku bercakap dengan nada suara begitu. Selalunya aku akan bercakap seperti pihak pembangkang dalam pertandingan bahas. Terang, jelas dan lantang!
            Nurhanim tarik aku ke tepi. Beri laluan kawan-kawan yang lain berjalan dulu. “Farid,kan? Sebab tu kau lepaskan dia. Memang dasar angau lah kau ni. Syok sendiri!” mana aku nak sorok muka. Rasa nak masuk perut mak semula. Aku malu sangat sebab best friend aku yang sorang ni dah tahu yang aku lupakan niat aku semata-mata kerana pemilik nama Farizan a.k.a Farid.
            “Kalau dah tahu, senyap. Jangan bising,”
            “Beb, tak adillah dia aje kenakan kau. Sampai bila kau nak sabar. Kata brutal,” Nurhanim mencabar aku. Aik, tiba-tiba dia pula yang terlebih semangat.
            Aku menggeleng. Takkan aku nak jadi musuh kepada lelaki pujaan sukma aku? Tak masuk list calon girlfriend pula aku nanti. “Beginilah, kalau kau tak nak balas dendam dengan cara yang sadis pun, kau carilah benda yang dia takut. Kau letakkan kat meja dia macam yang dia buat kat kau. Okey tak?” Nurhanim memberi cadangan yang luar biasa. Memanglah idea begitu sudah banyak dibuat. Maksud luar biasa aku ialah, Nurhanim bukan begini perangainya. Dulu awal-awal lagi dia halang aku. Sekarang siap jadi mastermind pula. Tapi macam best juga idea dia itu. Aku masukkan ke tray ‘KIV’ di memori aku. Dalam pertimbangan.
            Petang Sabtu itu aku duduk di rumah sahaja. Dari pagi dah aku bertekun menelaah pelajaran. SPM tinggal dua bulan sahaja lagi. Bosan! Apa nak buat, ya? Aku turun ke bawah rumah, ambil basikal dan mengayuh laju-laju tanpa tahu arah yang hendak dituju. Kampung aku sunyi betul petang itu. Agaknya semua tengah layan Panggung Sabtu di TV3 yang menyajikan filem hindi.
Melintasi rumah Farizan, aku tiba-tiba teringat cadangan Nurhanim. Ya, aku perlu tahu apa yang dia takutkan. Aku mula membelok mendekati rumah kayu bercat biru itu. Basikal aku tongkatkan lalu aku mengendap di bawah rumah Farid yang bertiang tinggi itu.
            “Farid, tolong mak ke kedai Pak Cik Baden, beli tepung gandum,” aku dengar suara Mak Cik Faridah, ibu Farizan dari arah dapur.
            “Hah, beli tepung kat kedai Pak Cik Baden? Tak nak lah mak. Mak kan tahu Farid takut,” suara Farid aku dengar betul-betul seperti orang takut. Aku seronok. Seperti orang mengantuk disorong bantal.
            “Tolonglah. Ada pisang tanduk ni. Mak nak buat pisang goreng,”
            “Suruhlah abang atau mak buat aje pengat pisang. Farid takkan beli tepung tu. Mak suruhlah benda lain, Farid sanggup buat asalkan mak tak suruh Farid beli tepung. Farid takut,”
            Aku termangu di bawah rumah. Tepung?
           
Hari Isnin itu aku ke kelas dengan satu azam yang baru. Wah, bukan main lagi, di hujung-hujung tahun begini baru aku nak tanamkan azam.
            Fuhh…aku menahan gelak memandang aksi Farizan meniup tepung yang aku tabur di atas mejanya. Macam tiup lilin kat atas birthday cake. Gulp! Aku hairan. Kenapa Farizan tidak nampak macam orang yang takutkan tepung? Agaknya sebab aku letak sikit saja tadi. Okey, tak apa, lepas ni aku letak sekilo!
            “Sapa yang letak tepung atas meja aku ni?!” Farid melaung dalam kelas. Orang kacak macam Farid memang pelik. Dalam marah-marah macam itu pun nak control macho lagi. Suara pun bukan main jaga. Dia melaung tu aku rasa tahap aku berbisik aje. ‘Wahai bakal imam muda, suara tu bukan aurat awaklah..’
            Something happened! Semua terdiam dengan mata semua pandang aku. Apa sudah jadi? Aku memerhati sekeliling kelas. Rupa-rupanya Fazudin sedang tunjuk aku dengan lagak takut-takut berani.
            “Kau?” Farid gelakkan aku dan aku rasa itulah gelak paling jahat pernah aku dengar. Muka aku dah merah dan panas. “Aku tahu aku miskin tapi mak aku masih mampu lagi nak beri makan kami adik-beradik. Tak payahlah kau nak bersedekah,” selepas itu Farizan terus keluar menonong aje dari kelas. Apa yang aku dah buat?

Papan keranda hujungnya merah,
Bakar mercun di tengah hari;
Pada kekanda kalau kumarah,
Bererti meracun diri sendiri.
           
Aku berlenggang kangkung mengheret basikal. Basikal aku tidak ada masalah. Memang sengaja aku hendak balik lambat. Kepala aku yang sarat sejak setahun dua ini sudah ringan sekarang. Bolehlah aku bersenang-lenang sekarang.
            Alamak! Ada sekumpulan samseng sekat jalan aku pula! Nak buat apa ni?
            “Kau panggil aku Putera Katak,kan?” Farizan bertanya sambil menahan basikal aku. “Apa lagi yang kau tak puas hati sampai hari-hari kau conteng kertas aku dengan lukisan katak buruk kau tu?” mukanya merah petanda betul-betul marah.
            “Kau yang mulakan dulu. Kau letak katak kat bawah meja aku. Sekarang nak salahkan aku pulak?” aku tak puas hati. Dia boleh buat aku, aku tak boleh buat dia?
            “Kau kan dah balas dendam. Kau yang letak tepung gandum sekilo atas meja aku. So, dah seri lah,”
            Aku diam tertunduk. Dia tak takut pun dengan tepung itu. Dia cuma bengang sebab meja dia kotor dan dia rasa aku nak hina keluarga dia miskin. ‘Taklah, sayang. Mana ada Ain nak hina keluarga Farid.’
            “Kau nak sangat kat aku, kan? Aku sekarang dah jadi putera. So kau mesti jadi puteri, baru sepadan dengan aku,” bila Farizan cakap macam tu, aku dah rasa nak nangis. Kalau ya pun tak hargai cinta aku, tak payahlah nak perli.
            Dia menoleh ke belakang, macam beri isyarat kepada konco-konconya yang seramai lima orang itu. Fazudin menghulur sebungkus tepung gandum kepada Farizan.
            “Mulai hari ini, beta tabalkan tuan hamba menjadi Puteri Tepung. Silakan bersiram, wahai tuan puteri,” Farizan membuka bungkusan tepung itu lalu menyiramnya di atas kepala aku. Kegembiraan aku kerana baru selesai menjawab kertas terakhir SPM sebentar tadi hilang sekelip mata.
            “Belajar dulu pandai-pandai. Dapat kerja jawatan tinggi-tinggi, bagi mak bapa hidup senang baru fikir pasal cinta. Perangai macam laki, ada hati nak ngorat aku!” tanpa memandang aku yang sudah putih disirami tepung, mereka terus blah dari situ. Sesuatu terjentik di hatiku, kenapa aku tidak marah?
Love is unaware of sadness and pain…

            Farizan sudah terbang ke Australia, menyambung pelajaran di sana setelah menjalani persediaan selama enam bulan di Kuala Lumpur. Benar katanya dahulu. Sepatutnya aku tumpukan perhatian aku terhadap pelajaran. Tengoklah sekarang, rakan-rakan lain dah berjaya ke menara gading, aku pula masih merangkak lagi di tingkatan enam.
            Dari ruang tamu rumah, aku nampak kelibat Nurhanim melalui pintu yang sengaja aku buka luas-luas. Dia kelihatan tergesa-gesa memasuki pagar rumah aku lalu melaungkan salam. Aku jemput dia masuk dan duduk di ruang tamu itu.
            “Fazudin balik kampung semalam. Dia bagi surat,”tukas Nurhanim setelah aku bertanya hajatnya datang ke rumah aku.
            “Surat? Surat apa?”
            “Dia temankan Farid ke KLIA minggu lepas. Surat ini katanya dari Farid. Bacalah, mungkin dia nak minta maaf,” terang Nurhanim.
            Farid beri surat? Aku sangat teruja tapi entah kenapa, belum pun dibuka surat itu, aku sudah menangis dalam pelukan Nurhanim. Setelah aku kembali tenang, Nurhanim meminta diri. Dia perlu berkemas untuk kembali ke UiTM.

Assalamualaikum,
            Wahai Puteri Tepung (hihihi),
-Pertama sekali, saya memang tak pandai nak bermadah dan merangka ayat saya (bukan macam awak), jadi saya buat point by point, ya….
-Saya nak minta maaf andai sepanjang persahabatan kita, saya ada melakukan kesilapan yang menggores hati awak. Saya tahu sebenarnya banyak, kan? Jadi kalau boleh tolong maafkan saya.
-Awak sangat cantik bila marah, sebab itu saya suka buat awak marah. Bukanlah bermakna senyuman awak tidak manis dan menawan tetapi bila awak marah, awak akan duduk diam-diam. Ketika itulah kecantikan awak akan terserlah. :-p kalau awak tak marah dan tengah seronok, awak macam pelesit, tau?
-Saya juga ingin meluahkan satu perasaan yang telah lama saya rasa terhadap awak. Saya cintakan awak. Betul. Tak ada niat nak kenakan awak macam dulu-dulu. Cinta saya tidak ditolak, kan? Saya tahu awak pun cintakan saya. Saya harap cinta kita ini akan berkekalan biarpun kita berjauhan.
-Selepas ini saya harap awak boleh berubah menjadi Nurul Ain yang baru, yang lembut dan bersopan. Bukan saya tak boleh terima awak seadanya, tetapi bila saya beritahu mak saya yang saya mahu jadikan awak sebagai isteri saya, dia cakap dia mahu saya kahwin dengan perempuan, bukan jantan.  Jadi, untuk mengelakkan berlakunya cinta terhalang, awak sudi berubah untuk saya,kan?
-Tunggu saya. Bila pengajian saya sudah tamat, saya akan kembali. Jangan lupakan saya,ya?
-Nurul Ain, doakan saya di sini. Semoga awaklah yang dijadikan dari tulung rusuk kiri saya.
-Saya masih simpan cebisan kertas yang awak selitkan dalam buku saya, “If there is anything better than to be loved, it is loving...” InsyaALLAH, saya akan terus mencintai awak.

Aku diam bukan bererti aku membisu,
Percayalah aku tercipta hanya untuk kamu,
Di jantungku hanya ada selembar namamu,
Kuyakin kau pun begitu…
                                                                                                           
        Pertama bukan hati,
                                                                                                                        farizan

Air mata aku menitis lagi. Ternyata dia pun cintakan aku juga. Aku akan jaga cinta ini sehingga suatu hari nanti aku akan menjadi kekasih halalnya.
            Aku tersentak bila terasa air mataku menitis ke telapak tangan. Terbang khayalan peristiwa tujuh tahun lalu.
            Tujuh tahun! Tujuh tahun aku menunggu, hanya untuk dilukai dengan cara begini. Tak pernah terdetik pun untuk menerima lelaki lain dalam hidup aku. Biarpun selama tujuh tahun ini, tiada panggilan telefon, tiada kiriman e-mel malahan facebook Farizan pun aku tak tahu! Apatah lagi hendak berutus surat cinta. Aku tetap setia. Tapi apa yang aku dapat?
            Dari pagi tadi aku duduk di pondok sawah. Mak aku panggil makan pun ku tidak mahu. Aku sudah banyak menangis sejak aku terima kad jemputan walimatulurus semalam. Sakit hati aku hanya ALLAH sahaja yang tahu. Bayangkan, selama tujuh tahun ini aku berusaha menjadi seseorang yang dia inginkan. Nurul Ain yang baru. Kalau tak boleh nak setia kenapa suruh aku tunggu?


“Jangan janganlah adik angan-angan
Merayau ke alam impian
Duduk termenung kesepian tiada teman”
           
Aku terkejut mendengar suara menyanyi dari belakang. Farid? Apa dia buat di sini? Perlahan-lahan dia mendekati aku lalu melabuhkan punggung di sebelah tapi tetap menjarakkan diri.
            “Kat sini rupanya awak. Saya cari kat rumah tadi,” Farizan bersuara setelah beberapa saat kami saling mengunci mulut.
            “Kenapa nak cari aku?” aku bertanya dengan kasar. Sekadar tidak mahu kelihatan sedih di matanya.
            Farizan tersenyum. Hatiku terhiris lagi. Dari dulu lagi senyuman indah itu bukan milik aku. Kini aku hanya mampu menatap wajah handsome itu tersenyum tanpa menyimpan apa-apa harapan untuk memilikinya.
            “Kenapa saya tak boleh cari awak? Sebab awak tuan puteri?” tengok, aku baru ingat dia nak berbaik dengan aku. Tak ada maknanya. Memang dia nak mainkan aku. Jahatnya!
            “Kalau kau tak ada kerja nak buat, baik kau balik sekarang. Nanti datang pula tunang kau mengamuk kat sini,” aku sedaya upaya menahan getar suara agar segala yang aku pendamkan di hati tidak terkeluar saat ini.
            “Jangan risau. Dia takkan mengamuk. Dia seorang yang lemah lembut dan sangat menawan,”
            Ya ALLAH! Aku tak boleh mengawal degupan kencang di jantungku bila terdengar pujian Farizan terhadap tunangnya. Rasa macam mahu terkeluar jantungku. ‘Farid, tolong jangan buat aku menangis di depan kau..’
            “Awak masih macam dulu,. Suka buat kesimpulan melulu tanpa siasat. Saya ingat lagi masa awak fikir saya takutkan tepung. Saya bukannya takutkan tepunglah. Saya takut pada Pak Cik Baden. Dia pernah marahkan saya sebab beli rokok untuk abang saya. Dia tak bagi saya ke kedai dia lagi,”suara yang aku rindu itu tetap gemersik di telinga. Salah faham itu dah lama terungkai namun Faizan tetap menjelaskan semula. Tapi apa kena-mengena hal itu dengan tunangnya?
            “Kenapa diam?”Tanya Farizan. Nampaknya, dia belum kenal Nurul Ain yang ada di hadapannya sekarang. Nurul Ain yang baru ini memang tak banyak cakap dan sangat malu di hadapan lelaki.
            “Mak awak cakap awak dari semalam dah tak makan dan asyik menangis,”getus Farizan lagi. Agaknya dia bosan menunggu aku bersuara. “Saya rasa bersalah sebab saya rasa sayalah yang menyebabkan awak sedih begini. Tak sangka pula gurauan saya berlebihan sangat,”
            “Gurauan? Apa maksud awak?!”aku pun dah tersasul ber ‘awak’ akibat terlalu terkejut. Gurauan apa?
            Farizan tersenyum nipis sebelum menjawab soalan aku. “Kad jemputan itu saya buat sendiri. Satu salinan sahaja, hanya untuk awak. Saya fikir nak menguji kasih awak pada saya, sama ada masih cinta atau telah pudar perasaan awak pada saya. Tak sangka awak menangis sampai bengkak-bengkak mata,”kali ini suaranya jelas menunjukkan dia rasa bersalah. Air mata aku pula entah mengapa menjadi sangat mudah mengalir. Aku menangis lagi.
            “Janganlah menangis lagi. Betul, kad itu rekaan semata-mata. Saya ingat awak akan serang saya seperti Nurul Ain yang saya kenal dulu. Masa awak datang mengamuklah saya ingin melamar awak. Itu yang saya rancang. Tapi saya lupa, Nurul Ain sudah berubah demi cintanya pada saya. Saya minta maaf kerana tak memahami diri awak yang baru tapi percayalah, cinta saya tetap untuk awak, Ain,” pujuk Farizan lagi.  
“Mengapa buat saya begini? Mengapa selalu nak menguji saya? Tak puas awak menyeksa saya selama tujuh tahun terus menunggu tanpa kepastian dari awak? Tak sedarkah awak saya kosongkan hati saya selama ini kerana menanti awak?” soalan bertubi-tubi itu aku lontarkan dalam sendu yang tak mampu aku tahankan lagi. Sampainya hati…
            “Saya tahu, saya salah. Sepatutnya saya tak perlu ragui perasaan awak. Kalau awak nak tahu, segala-gala tentang awak mak saya beritahu pada saya. Walaupun saya tak berhubung dengan awak selama tujuh tahun tapi saya pesan pada mak supaya jaga dan tengok-tengokkan awak. Saya kejam,kan? Saya dah tahu cinta awak tetap pada saya tapi saya masih nak uji awak. Memang patut awak marahkan saya,”
            Kami terdiam lagi. Agaknya sama-sama melayangkan ingatan terhadap peristiwa sepanjang tujuh tahun ini. Ya, aku sedar Mak Cik Faridah selalu mengambil berat tentang diri aku. Bila aku mula bekerja di pekan, dia akan berkunjung ke rumah ketika aku balik ke kampung pada hujung minggu. Tentu sekali dia pun turut menyedari perubahan diri aku dari seorang perempuan yang tak terserlah keperempuanan kepada seorang gadis muslimah yang sangat bersopan-santun dan mula mendekatkan diri dengan amalan yang disyariatkan oleh agama. Sangat menepati citarasanya untuk dijadikan menantu.
            “Aha, saya ada sesuatu untuk awak!” suara Farizan bergema tiba-tiba. “Saya lupa nak beri tadi. Benda ini saya beli di Australia khas untuk awak,”
            “Apa tu? Cepatlah bagi,”aku mula merengek (sengaja mengada-mengada)…sudah lupa kesedihan aku tadi.
            “Tapi awak mesti tutup mata dulu. Bila saya suruh buka baru awak buka,” ishh…macam budak-budak, tapi aku turutkan juga. Aku mahu beri kerjasama supaya surprise nya menjadi.
            “Sekarang awak boleh buka mata,”tutur Farizan lembut sekali. Menggoda…
            Aku membuka mata dengan rasa yakin bahawa hadiah itu pasti sesuatu yang istimewa. SUBHANALLAH, aku tergamam melihat sesuatu di tangannya. Katak!!! Aku benci Farizan….!
            “Awak gila! Awak memang Putera Katak! Siaplah kalau saya dapat awak!”aku menjerit-jerit sambil mengejar Farizan yang dah berlari meninggalkan aku di tepi sawah.
            “Awak pun masih Puteri Tepung yang gebu. Kejarlah saya kalau awak larat!”Farizan terus berlari seperti pelesit. Pelesit? Macam pernah dengar perkataan itu tapi di mana,ya?

            Aku terjaga bila terasa kesejukan bilik tidur ini begitu mencengkam. Aku memang tak biasa tidur dengan penghawa dingin. Selalunya aku pasang bila aku nak tidur siang sahaja. Tangan aku menjamah kawasan di sebelah kananku. Kosong? Mana Farizan?
            Perlahan-lahan aku mengatur langkah menuruni tangga menuju ke tingkat bawah. Aku lihat ada sesusuk tubuh dalam samar-samar cahaya di ruang tamu rumah baharu yang aku duduki setelah menjadi isteri Farizan.        
“Mengapa tak tidur lagi?”tanyaku sambil mengambil tempat di sebelahnya. Rapat sekali hingga hembusan nafasnya terasa di kepalaku yang sengaja kusandarkan di dadanya.
Dia diam. Marah ke? “Maaflah, saya tertidur. Sepatutnya saya tunggu awak tapi saya betul-betul tak larat. Penat sangat. Sorry ya, Farid?”aku rasa bersalah sangat. Malam ini merupakan malam pertama kami setelah diijabkabul siang tadi. Aku tertidur pula. Adakah patut?
Dia menolak bahuku lalu menyentuh daguku. Memaksa aku bertentangan mata dengannya. “Ain janji nak panggil abang kan? Mana boleh panggil suami dengan nama begitu,”aku garu kepala yang tak gatal. “Maaf, Ain tak biasa lagi,”
“Abang tak marah Ain tertidur. Abang faham tentu Ain penat. Abang pun penat tapi tak dapat lelap pula tadi. Abang turun bawah, belek-belek gambar pernikahan kita. Cantik,kan isteri abang?”Farizan membelai-belai rambutku. Kepalaku telah kurebahkan semula. Kali ini di bahunya pula.
“Mana ada cantik. Gemuklah isteri abang. Abang tak kisah ke dapat isteri gemuk macam Ain?”aku bukan hendak menguji, aku memang benar-benar ingin tahu. Sebelum berkahwin pun aku dah tanya soalan yang sama tapi dia hanya tersenyum menjawab soalanku.
“Tempoh tujuh tahun itu cuma mampu mengubah fizikal Ain sahaja, sayang. Bukan hati Ain. Ain tetap Puteri Tepung abang yang comel walaupun sekarang dah jadi baking powder,” untuk gurauannya itu, aku hadiahkan cubitan di lengannya. Kata aku baking powder,ya!
Farizan berjeda. “Ada banyak sebab mengapa abang tak contact Ain sepanjang berada di luar negara. Salah satunya untuk mengekalkan kesucian cinta kita supaya sentiasa diredhai ALLAH dan lagi satu, abang mahu melihat sejauh mana setianya Ain pada abang. Jadi, kecantikan luaran bukanlah sesuatu yang abang cari. Ain ada segala yang abang inginkan dari seorang wanita,”
Aku terharu. Sedaya upaya aku menahan sendu supaya tak terkesan oleh Farizan.
“Lagipun, kalau Ain sempurna sangat, takut pula abang nak masuk meminang. Entah-entah Ain minta jambatan emas dari Saratok ke Kuching. Matilah abang,”gurau Farizan. Dia berkata begitu seolah-olah tidak menyedari kesempurnaan dirinya. Wajahnya yang kacak, tutur katanya sangat teratur. Dia sangat alim bahkan pengetahuan agamanya sangat mendalam sehingga kehidupan barat yang dia lalui selama melanjutkan pelajaran tak berjaya mempengaruhi Farizan. Di mataku, suamiku ini sangat sempurna!
“Abang ada sebuah lagu untuk Ain. Dengar abang nyanyi,ya. Kalau tak sedap jangan kutuk,”aku anggukkan kepala. Oh, aku terlupa hendak beritahu, suamiku juga suka menyanyi. 
“Aku rasa telah kutemukan cinta sejati, saat aku hilang arah dan tak terkendali, di saat aku cuba bertanya di suatu sisi, kuyakin kau cinta mati…”pada dinihari yang hening ini suara Farizan menusup jauh ke dasar hatiku. Kurakamkan saat ini di ruang hatiku yang paling dalam.
“Ain cintakan abang. Cintakan Putera Katak Ain sangat-sangat. So much in love with you,”aku luahkan rasa cintaku padanya. Biar dia tahu di hatiku ini hanya ada namanya. Farizan nyata terharu. Matanya berkaca. Di dahiku dihadiahkannya kucupan tanda aku sangat disayangi.

Aku tersesat menuju hatimu,
Beri aku jalan yang indah,
Izinkan aku lepas penatku,
Untuk sejenak lelap di bahumu…      

‘Ya ALLAH,izinkan selamanya aku menjadi permaisuri di hati hambamu ini’ kutitipkan doa di hati. Cinta pertamaku ini kuharapkan agar menjadi cinta terakhirku. Amin… 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pecah Kaca Pecah Simen,
Lepas Baca Harap Komen...