like

Sang Pemimpi

Selasa, 22 Januari 2013

Sirna Cinta Pertama Bab 2



Senak perut Tarmizi menahan gelak. Repeat STPM? Dia tersalah dengarkah? Rasa lucu dipendam sahaja. Dia tidak sampai hati mahu ketawa lebih-lebih lagi apabila melihat wajah di hadapannya yang bertambah serius. Muncung sedepa!
“Lia tahu Abang Miji nak ketawakan Lia. So just let it out!” bentak Mulia tidak puas hati.
Apa yang lucu sangat? Seingatnya tadi dia tidak pun membuat sebarang persembahan lawak. Abang Miji sudah gila, rumus Mulia. Agaknya Tarmizi berasa lucu mengenangkan hasrat Mulia untuk mengambil semula peperiksaan STPM bagi subjek Sejarah yang telah gagal dahulu. Apa salahnya?
“Abang Miji bukan nak ketawakan Lia. Impian Lia memang baik. Memang bagus. Tapi Abang Miji rasa pelik, mengapa sekarang? Mengapa tidak dari dulu lagi? Umur Lia sekarang dah dua puluh tiga tahun, kan? Dah ada anak pun. Tak menyusahkan ke? Lia kena bekerja, jaga anak dan sekarang Lia perlu bahagikan masa untuk belajar,” suara pujukan Tarmizi tidak diendahkan Mulia.
Sebenarnya Mulia lebih suka masanya diisi dengan pelbagai aktiviti. Kalau banyak masa terluang, banyak ruang untuk dia kembali mengingati memori yang sedaya upaya dia lupakan. Sekurang-kurangnya, tumpuan terhadap tugas sebagai seorang pembantu tadbir, seorang ibu dan pelajar akan melekakannya dari mengingati kenangan pahit itu. Dan lebih penting dari itu, dia sebenarnya ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. CGPA yang diperolhi dahulu tidak cukup untuk melayakkan Mulia memasuki mana-mana IPTA. Disebabkan hal itulah Mulia mahu menjalani peperiksaan semula. Kali ini dia nekad untuk belajar bersungguh-sungguh.
Mulia memandang lurus ke hadapan. Tidak mahu menatap wajah Tarmizi yang masih dengan sisa-sisa senyuman yang ditahan-tahan sejak tadi.
Mulai terpegun. Di hujung restoran itu ada seorang lelaki bersama seorang wanita yang saling berbalas renungan. Perut wanita yang agak membuncit meyakinkan Mulia pasangan tersebut merupakan suami isteri. Tiba-tiba hatinya dipagut rasa cemburu. Alangkah beruntungnya wanita itu!
“Mengapa diam? Merajuk?” Tanya Tarmizi setelah Mulia lama terdiam. “Abang Miji bukan nak halang Lia, Abang Miji cuma risau Lia tak mampu. Siang Lia bekerja, malam Lia belajar. Abang kasihankan Lia dan Sofia,” pujuk Tarmizi lagi. Tarmizi tahu, tiada guna menghalang keputusan Mulia. Dia seorang yang tegas. Sekali-kali tidak akan mengubah keputusan sekalipun tindakan itu akan melukakan hatinya sendiri dan orang-orang yang ada di sekelilingnya.
Sama seperti keputusan yang dibuat tiga tahun dahulu. Mahu menerima pinangan keluarga Nasir, seorang playboy, kasanova! Semua ahli keluarga dan rakan-rakan meminta Mulia fikirkan keputusannya masak-masak. Berlainan pula tanggapan Mulia. Nasir bukan playboy, dia cuma pencinta wanita. Hendak kata apa lagi? Tengoklah sekarang, apa sudah jadi? Dirinya ditinggalkan setelah melahirkan Zarith Sofia. Dasar keras kepala!
“Abang Miji jangan risau. Lia dah bincang dengan mak. Dia janji akan tolong Lia jaga Sofia. Buat sementara waktu ini ayah dan mak akan tinggal bersama Lia di Kuching. Bukannya lama, tahun ini sahaja,” Mulia menerangkan rancangannya kepada Tarmizi. Wajah kemelayuan teman lelaki kakaknya itu ditatap. Walaupun ibunya berketurunan cina, wajah Tarmizi sedikit pun tidak mewarisi kecerahan kulit bangsa itu. “Lia takkan susahkan Abang Miji. Lia tahu Abang Miji dah buat macam-macam untuk untuk Lia. Kali ini, biarkan Lia berdikari,”
Tarmizi menggeleng. Bukan itu yang dirisaukannya. Dia tidak pernah rasa terbeban membantu Mulia. Wanita cekal itu sudah dianggap seperti adiknya sendiri. Walaupun suatu ketika dahulu hatinya pernah terusik dengan kehadiran Mulia. Perkara itu menjadi rahsia dan hanya dia dan ALLAH sahaja yang tahu.
“Abang tak nak Lia fikir macam itu. Kalau Lia sudah nekad, Abang Miji akan bantu Lia capai cita-cita Lia. Jangan aggap Abang Miji macam orang lain. Kita dah lama kenal. Dah macam keluarga,”
“Terima kasih Abang Miji. Abang Miji baik sangat terhadap Lia. Tak terbalas rasanya budi Abang Miji. Lia doakan Abang Miji cepat-cepat kahwin dengan Kak Suria supaya ada orang yang boleh jaga Abang Miji pula,” kata Mulia bersungguh-sungguh. Doa itu benar-benar lahir dari hatinya. Sudah tiba saatnya Abang Miji berumah tangga. Dia pun bukan muda lagi.
“Kenapa nak kahwin cepat-cepat? Kalau Abang Miji tak kahwin dengan Suria, Mulia tak boleh jaga Abang Miji?” Tarmizi menjongket kening sambil melemparkan senyuman penuh makna.
Mulia tertunduk. ‘Abang Miji, apa yang dah diakhiri dulu janganlah dimulakan lagi.’




Tidak kumenyerah kalah
Walau mimpiku musnah
Harapanku hancur
Sayapku patah

Mulia meniarap di atas tilam. Dia termengah-mengah kerana sebantar tadi dia baru sahaja terlompat-lompat macam orang gila. Di dalam bilik yang dikongsi bersama Suria itu terdapat dua buah katil bujang. Mulia dan Suria sering tidur bersama di atas sebuah katil. Katil yang satu lagi dijadikan tempat melepak atau tempat menimbunkan pakaian sementara pakaian tersebut dilipat dan disimpan di dalam almari.
Mulia tersenyum-senyum lagi. Di awal usia dua puluh tahun dia dipinang oleh jejaka pujaan Malaya! Siapa yang tidak melompat kegembiraan? Nasib baik dia bersembunyi di dalam bilik sejak kedatangan rombongan keluarga Nasir tadi. Kalaulah di hadapan ibu bapa Nasir dia terlompat macam kanggaru, sah-sah saat itu juga pinangan dibatalkan!
Terdengar ketukan di pintu. Mulia memeriksa keadaan dirinya sebelum membuka pintu. Manalah tahu semasa melompat tadi ada anggota badan yang turut melayang. Setelah yakin dirinya sempurna, baru dia melangkah ke arah pintu bilik tidur itu.
“Rombongan keluarga Nasir baru balik. Mulia tahu kan tujuan mereka?” Mulia mengangguk. “Mak belum beri jawapan lagi. Mak nak tanya Mulia dulu. Mak bukan tak suka pada Nasir tapi kita dah selalu dengar desas-desus pasal perangai Nasir. Mulia rapat dengan dia tentu Mulia lebih kenal dia, kan? Mak serahkan keputusan ini kepada Lia. Tapi ingat pesan mak, jangan terlalu ikutkan hati. Fikir tentang masa depan juga,”terang Puan Asmah sambil membelai rambut anak daranya. Hatinya sayu. Rasanya baru sekejap dia membesarkan Mulia kini bunga yang sedang kembang mekar itu ingin disunting orang.
Mulia terdiam. Tidak tahu hendak jawab apa. Dia sememangnya suka dengan pinangan itu. Sangat suka! Perasaannya hari itu kalau boleh diukur agaknya lebih hebat daripada perasaan Datuk Lee Chong Wei ketika berjaya mengalahkan Lin Dan. Mungkin lebih gembira berbanding kegembiraan Pandalela Rinong ketika mendapat pingat di sukan Olimpik. Tetapi dari nada suara Puan Asmah, Mulia tahu emaknya ragu-ragu hendak menerima.
“Nanti Lia bagitahu mak,ya? Lia nak tanya pendapat Kak Suria dan kawan-kawan dulu,” Mulia menggenggam tangan Puan Asmah sambil tersenyum mesra.
“Jangan lupa buat solat istikharah. Minta petunjuk dari ALLAH,” Puan Asmah meliarkan pandangan ke sekitar kamar beradu kedua-dua puterinya. “Lagi satu, bilik ini kemaskan sikit. Dah nak jadi isteri orang pun bilik masih berterabur lagi,”
Mulia mengangkat dua jari lambang ‘peace’. Selepas emaknya keluar, dia bergegas membuka laptopnya. Dia ingin melaksanakan tugasan wajib hariannya sejak berusia enam belas tahun.

Dear The Only Me (T.O.M),
• Saya tidak tahu sama ada hari ini saya terlebih adrenalin atau apa tetapi saya benar2 gembira. Rasa ingin tersenyum sampai esok pagi. Description: :-D
• Seperti biasa, kegembiraan ini saya kongsikan dengan awak. Tidak ada tujuan lain cuma mahu awak tahu saya sedang gembira. (saya yakin awak tak pernah ingin tahu Description: :D)
• Jatuh cinta berjuta rasanya! Awak setuju T.O.M? tentu awak lebih tahu kerana awak sering merasainya!
• Hari ini, untuk kesekalian kalinya, saya sedar saya benar-benar cintakan awak.
• Jaga diri, ya!
Love,
SIRNA




Mulia terasa matanya memedih dan basah. Dia mengelipkan matanya berkali-kali lalu air jernih yang bergenang mengalir perlahan menuruni pipinya. ‘Sampai bila harus berpaut pada kenangan?’ Mulia memarahi dirinya. Dia harus memulakan hidup baru demi anak tercinta. Borang untuk memohon mengambil peperiksaan sebagai calon luar ditatap. Tangannya lantas mencapai pena mata bulat berdakwat hitam. Dia akan memulakan langkah pertama meninggalkan kenangan suram itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pecah Kaca Pecah Simen,
Lepas Baca Harap Komen...