like

Sang Pemimpi

Jumaat, 25 Januari 2013

Sirna Cinta Pertama Bab 3




Berbaju kurung, memakai tudung… – Nana
Nana membelek-belek dirinya di hadapan cermin. Cantik! Dia berpuas hati dengan penampilannya. Baju kurung moden berwarna putih yang yang membaluti tubuhnya itu memang sepadan dengan Nana. Ini bukan kali pertama dia berbaju kurung walaupun baju kurung merupakan pakaian kebangsaan orang Melayu. Kali ini lebih istimewa. Baju itu akan menjadi saksi satu lafaz yang akan mengubah hidupnya.
Nasir berpesan supaya memakai tudung. Nana mengangkat tudung bawal crown di tangan kanan manakala selendang satin di tangan kiri. Kedua-duanya baru dibeli kelmarin. ‘Nak pakai yang mana satu?’ Fikir Nana. Walaupun selalu mengenakan baju kurung, namun dia tidak pernah bertudung. Kalau pakai tudung bawal, leceh. Tapi Nana tidak pula pandai melilit selendang.
‘Tidak mengapalah. Pakai selendang macam mak datin pun okey!’ Nana terus menyilangkan kedua-dua hujung selendang itu di dadanya. Sekali lagi Nana memerhati penampilannya dari hujung rambut ke hujung kaki. Perfect! Dia keluar dari bilik dengan langkah yang yakin. Nasir sudah menunggu di ruang tamu sambil berbual dengan Datuk Joseph Muan. Nasir memang sudah akrab dengan keluarga Nana kerana sudah berkali-kali berkunjung ke banglo mewah itu.
“Cantiknya anak papa. Macam nak pergi nikah aje.” Tegur Datuk Joseph Muan. Mana tidaknya. Baju kurung chiffon yang dihiasi indah dengan taburan manik dan labuci sangat menyerlahkan penampilan anaknya yang sudah sedia cantik itu. “Dengan selendang berkilat ni, papa rasa kalau Nana dan Nasir nikah sekarang pun tak ada masalah,” usik Datuk Joseph lagi.
“Belum lagi, uncle. Banyak yang perlu diuruskan,” jawab Nasir.
‘Fuhh, kalau benar-benar Datuk Joseph suruh nikah sekarang, matilah aku. Seumur hiduplah aku tak dapat balik kampung.’ Nasir mula membayangkan dia dikejar ayahnya dengan parang setiap kali memijak tangga rumah orang tuanya.
“Papa, kami pergi dulu. Come, bie,” Nana mencuit bahu Nasir. Nasir bergerak mendekati Datuk Joseph. Menyalami tangan lelaki itu dengan mesra lalu beriringan dengan Nana keluar dari banglo itu.
“Kenapa pakai tudung macam ini? Pakailah elok-elok,” Nasir memberi komen setelah keluar dari kawasan perumahan elit Demak Indah.
Nana menoleh ke kanan. Menatap wajah selamba Nasir yang sedang memandu. “Tak cantikkah I pakai macam ni?”
“Bukan tak cantik. You pakai apa pun cantik tapi bila dah pakai tudung, biarlah tutup aurat terus. Buat apa you nak keluarkan jambul you tu?”
“Nak pakai macam mana lagi, bie? Pakai selendang macam ni pun setengah jam I terkial-kial nak belit!” Nana mengeraskan suara. Dia tidak suka komen negatif keluar dari mulut Nasir. Nana membayangkan Nasir menyuruhnya memakai tudung bidang enam puluh inci macam bekas isterinya. No way!
“You buka balik selendang tu. I ajar you, okey? Senang aje. Dalam kereta pun boleh pakai,” Nasir mula memberi arahan kepada Nana. Mahu tidak mahu Nana terpaksa ikut. Dia harus sentiasa menjaga hati Nasir.
“Mula-mula letakkan selendang tu kat atas kepala, tapi biar hujungnya sebelah panjang dan sebelah lagi pendek,”
“Yang panjang tu sebelah kanan atau kiri?” tanya Nana yang sudah mula berminat.
“Mana-mana pun boleh. Asalkan you rasa selesa. Lepas tu, bawa hujung yang pendek tu ke bawah dagu dan pinkan dekat telinga yang sebelah lagi,” Nasir menoleh seketika. Dia terangguk-angguk. Nampaknya Nana cepat belajar.
“Bila dah ketat, you tarik pula hujung yang panjang tu ke belakang. Pinkan dekat belakang kepala you,”
Nana seronok membetul-betulkan kedudukan selendang yang baru dipakai dengan sempurna. Menutup seluruh rambutnya. Tidak susah rupanya nak lilitkan selendang. Nana tersenyum puas hati. Matanya menjeling side mirror. Kalah Yuna!


*****


Mulia menangis teresak-esak. Tarmizi tidak tahu lagi bagaimana mahu memujuk. Silap besar dia hari ini. Ingatkan hendak gembirakan Mulia. Malam tadi dia menghubungi Mulia, mengajak Mulia dan anaknya makan tengah hari di restoran makanan segera Sugarbun. Restoran yang terletak berhadapan dengan bangunan Mahkamah Syariah Kuching itu baru sahaja memulakan perniagaan.
“Janganlah buat spekulasi. Takkanlah dia kahwin tak bagitahu Lia,” pujuk Tarmizi.
Tidak berkesan! Mulia masih menangis. Zarith Sofia yang berbaring di pangkuan Tarmizi terpinga-pinga. Mungkin si kecil itu pun tidak faham mengapa ibunya menangis. Lapar susu seperti dia juga ke?
“Sudahlah. Apa yang nak di tangiskan? Nasir pun bukan suami Lia lagi jadi tak salah kalau dia kahwin. Buat apa nak bazirkan air mata untuk dia?” Tarmizi memprovok Mulia. Mana tahu cara ini berkesan setelah dari tadi asyik kata-kata pujukan sahaja yang dia gunakan.
“Abang Miji tak faham. Walaupun kami dah bercerai, Lia masih sayangkan dia. Sampai hati Nasir buat Lia macam ini. Baru empat bulan kami berpisah,” tangisan Mulia semakin menggila.
“Cuba Lia tanya Azmeer. Mungkin dia tahu,” saran Tarmizi. Azmeer kawan karib Nasir. Pasti Azmeer tahu tentang perkara ini.
Mulia mengesatkan air matanya dengan tisu. Tangannya pantas mencari nombor telefon Azmeer dalam list kenalan di telefon bimbitnya. ‘Harap-harap Abang Az kata tidak. Tidak, Nasir tidak kahwin lagi!’ doa Mulia di dalam hati.
“Abang Az tak tahulah, Lia. Dia tak cakap apa-apa pada Abang Az. Lia sabar,ya. Nanti Abang Az tanyakan pada Nasir,”jawab Azmeer setelah Mulia menceritakan apa yang dilihatnya sebentar tadi. Nasir keluar dari Mahkamah Syariah bersama seorang wanita yang berbaju kurung putih. Hati siapa yang tidak hancur?!


*****


“Bro, betul ke kau dah nikah?” Azmeer terus menerjah dengan soalan itu setelah panggilannya dijawab.
“Wah, hebatnya kau! Mak aku pun tak tahu apa-apa, kau yang jauh di UKM pula dapat berita ni. Dari mana kau tahu gosip ini?” Nasir pula yang menyoal. Soalan Azmeer tadi dibiar tidak berjawab. Bila masa pula dia kahwin dan siapa yang menyebar berita?
“Mulia called aku. Dia cakap dia nampak kau dengan seorang perempuan kat Mahkamah Syariah. Kuching tu tak sebesar manalah. Kau cakap betul-betul, kau dah kahwin ke?”
Mulia! Dia intip aku ke? “Aku belum kahwin lagilah. Tadi aku temankan Nana masuk Islam. Dia baru lafaz syahadah tadi. Kau bagitahu informer kau itu, kalau aku kahwin dia orang pertama yang aku akan bagi kad jemputan!”
Nana sudah masuk Islam. Bermakna tidak lama lagi mereka tetap akan kahwin juga. Azmeer tidak menyangka secepat itu Nasir mahu mencari pengganti Mulia. Tapi Azmeer sedikit pun tidak hairan. Siapa lagi yang lebih kenal luar dan dalam nasir kalau bukan dia?
“ALHAMDULILLAH. Bertambah seorang saudara kita. Kau pun janganlah cepat sangat nak kahwin. Kesian Mulia,” tukas Azmeer. Dua-dua merupakan sahabatnya. Sakit mereka, sakit jualah Azmeer.
“Kalau Lia call kau lagi, beritahu dia jangan sibuk pasal aku. Kami dah tak ada apa-apa hubungan lagi. So, jangan nak jaga tepi kain aku,” Nasir mematikan perbualan. Azmeer tergelak kecil. Jaga tepi kain konon. Kau pakai seluarlah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pecah Kaca Pecah Simen,
Lepas Baca Harap Komen...