like

Sang Pemimpi

Selasa, 22 Januari 2013

Sirna Cinta Pertama Bab 1










Once upon a time, I was falling in love but now I’m only falling apart – Black Shadow
Hujan mencurah lagi. Agaknya memang lumrah apabila menjelang Tahun Bahru Cina,hujan akan turun hampir setiap hari. Nasir gelisah di atas katil. Entah kenapa malam ini sukar matanya untuk lelap. Nasir bangkit dari pembaringan lalu menuju ke arah jendela. Angin dingin berhembus lembut tatkala jendela dibuka luas. Gelap dan sunyi. Hanya bunyi katak bersahutan. Agaknya bunyi katak itu yang mengganggu tidurnya. Nyanyian katak yang sumbang itu agak nyaring juga. Besar juga peti suara seekor katak hingga suaranya boleh sampai ke bilik Nasir di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu.
Nasir menutup semula jendela. Tempias hujan di luar sudah masuk ke rumah. Nasir kembali berbaring di atas tilam empuk. Berbaring berbantalkan lengan. Bukan bunyi katak yang mengganggu, fikir Nasir. Selama ini dia tetap lena didodoi irama katak-katak yang mungkin sedang mencari pasangan. Lantas, kerana apa maka malam ini sukar sekali melelapkan mata? Nasir menjeling jam di dinding. Sudah pukul empat pagi. ‘Baik aku solat. Ada juga faedah.’ Dengan langkah longlai, Nasir ke bilik air untuk mengambil air sembahyang.
Usai mengerjakan solat sunat, lama sekali Nasir terpaku di atas sejadah. Dia bukan bertafakur. Bukan pula bermuhasabah. Dia teringat sesuatu. Oh, tidak! Dia teringat seseorang! Mengapa harus ada kesal? Hati Nasir merintih lagi. Entah untuk kali yang keberapa. ‘Aku tak cintakan dia. Jadi aku tak rugi apa-apa!’ tegas Nasir di dalam hati. Dia terkenang kembali panggilan dari Nana pagi tadi.
“Sampai bila lagi I nak tunggu? Dulu kata tunggu habis edah. Sekarang tunggu apa pula?” suara Nana membentak-bentak di hujung talian. Wanita ini kalau tidak dilayan beginilah jadinya. Ingat dunia dia yang punya!
“I bukan tak nak cepat-cepat kahwin dengan you tapi you tahu kan I baru aje lepas bercerai. Kalau I kahwin dengan you sekarang, apa pula kata parent I. I cerai dengan Mulia ni pun dia orang dah mengamuk sakan. You nak parent I tuduh you musnahkan rumah tangga I?” Nasir cuba bersabar. Demi cinta.
Rasional alasan Nasir takkan difahami Nana. Gadis itu mahu semua kehendaknya dituruti. Dia sudah menunggu selama tiga tahun. Tempoh itu bukan sekejap. Bukan mudah melihat kekasih sendiri bersama orang lain di depan mata. Nana tidak sanggup lagi menanti. Dia ingin Nasir segera jadi miliknya. Sudah puas menahan sakit hati dan cemburu. Dia cuma ingin ikatan yang sah antara dia dan Nasir. Takkan itu pun Nasir susah nak buat?
“You jangan bagi banyak alasan kat I,okey. Kalau you takut nak bagitahu parent you, biar I aje yang bersemuka dengan mereka. Bie, sampai bila you nak I jadi gundik you aje? I nak jadi isteri you lah!”Nana tetap tidak mahu mengalah. Nasir harus diikat segera. Bukan dia tidak kenal perangai buaya Nasir. Kalau dibiar bebas, tidak mustahil Nasir boleh bermain mata dengan wanita lain. Dia tahu sangat tentang itu. Kalau tidak ada rupa agaknya sudah lama Nana ditinggalkan.
Nasir hanya diam. Malas mahu bertingkah kata. Dia tidak mahu bergaduh disebabkan perkara itu. Dia dan Nana sudah sepakat untuk berkahwin setelah semuanya reda. Kenapa sekarang ingin cepat-cepat dilangsungkan? Dia tidak mahu emaknya marah lagi padanya. Kemarahan emak bukan boleh dibuat main! Sekarang ini pun emak melancarkan perang setelah dia menceraikan Mulia. Hendak cari pasal lagi? Ish. Nasir tidak berani.
“I settle satu-satu dulu, okey? Jangan risau, I sayangkan you. Walau apa pun yang berlaku, I’m yours, dear,”Nasir mula memujuk Nana. Kalaulah Nana benar-benar ingin menemui kedua orang tuanya, nampaknya Nasir kena bertaubat dan membayar segala hutangnya kerana tidak mustahil selepas itu dia akan dibunuh ayahnya! Huh, simpang malaikat empat puluh empat! Dia masih mahu hidup. Dia masih mahu enjoy.



Nasir mengeluh lagi. Dia bingkas berdiri lalu menyambung lamunannya di tingkap. Kali ini cermin jendela tidak dibuka. Hujan sudah semakin mengganas. Dia sudah mula mengantuk namun tidak mahu tidur. Nasir risau dia tidak tersedar ketika azan subuh berkumandang. Dia sedar dia tidak boleh alpa dalam soal yang satu itu. Dosa sesama manusia pun tidak terhitung. Nasir tidak mahu menambah dosa yang ada. ‘Ah, lebih baik buka e-mel,semak blog!’
Kali ini Nasir duduk menghadap laptop di atas katil. Dia tidak mahu duduk di kerusi dekat meja yang ada di sisi katilnya. Lebih selesa duduk di tilam empuk. Tangannya lincah menaip id dan password e-melnya. Satu persatu e-mel diperiksa. Nasir perasan sesuatu. Dia tidak mendapat e-mel daripada SIRNA. Nasir kehairanan. Apabila dibelek-belek tarikh terakhir dia mendapat e-mel daripada SIRNA ialah sebulan lalu. Itu pun bukan madah cinta atau lirik lagu seperti yang biasa SIRNA kirim kepadanya. Hanya ucapan selamat tinggal. Mengapa agaknya?
‘Ah, sedangkan Nana yang aku layan dengan baik pun sudah bosan menunggu, inikan pula perempuan yang aku tak pernah ambil kisah tentang kewujudannya!’ Nasir menganggap itu merupakan sebab SIRNA menghilangkan diri. Biarlah, mungkin dia sudah ada seseorang yang istimewa lalu perasaanya terhadap Nasir lenyap begitu sahaja.



Tiba-tiba Nasir rasa ingin berjumpa dengan peminat rahsianya sejak bertahun-tahun itu. Tetapi sekarang SIRNA sudah hilang. Hilang membawa cintanya. Begitu juga dengan Mulia. Dia juga menghilang sejak diceraikan. Nasir mengeluh. ‘Kenapa aku baru terasa kehadiran orang yang cinta pada aku setelah mereka tidak lagi menemani aku?’
Bodoh bukan perkataan yang tepat. Nasir sudah penat. Dia melakukan prosedur menutup laptop. Dia mengeliat seketika lalu berdiri. Subuh hanya tinggal beberapa minit lagi. Nasir mahu ke surau. Dia tahu di situ pasti ada ketenangan yang dicari.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pecah Kaca Pecah Simen,
Lepas Baca Harap Komen...